Bukit Sulai
Dari kejauhan
Puncak Bukit Sulai ku lihat berbalam
Sinar matahari diselimuti kabus pagi
Hari ini akan aku daki
Kaki ku langkah
Tangan ku ayun
Ada kala laju
Ada kala perlahan
Mendaki bukanya mudah
Perlukan kekuatan dan kesabaran
Walaupun letih dan penat
Akhirnya, bukit yang tinggi
Puncaknya telah ku tawan
Itulah sedikit nikmat kejayaan
Bukit Sulai Gambang
21 Jun 2025
Pasaraya
Berdiri sambil bahu menumpang tiang
Di tengah pasaraya membeli belah
Menghela lelah melihat manusia
Mundar mandir
Pelbagai tujuan
Pelbagai warna
Pelbagai hajat
Pelbagai rupa dan cara
Jual dan beli
Di setiap toko kedai
Ada untung dan rugi
Keperluan atau kehendak
Hanya mereka yang tau
Berapa nilai duit dalam
poket mereka
ECM
28 Jun 2025
Mati Bediri
Bila diri merasa jauh dari mati
semuanya ingin di boloti
Tidakkah risau mati berdiri
Bimbang tidak diterima bumi
Di saat umur berbaki
Seharusnya mencari tuhan
Sebelum ke negeri abadi
Tapi masih sibuk mencari puji
Anugerah dan gelaran habis dicari
Halal dan haram tidak peduli
Apa lagi yang hendak dicari
Semuanya yang hidup pasti mati
28 Jun 2025
Transit Kuantan
Bahas Desa Madani
Berkelana ke Putrajaya
Pusat pentadbiran negara
Indah tersusun dan memukau
Selayaknya menjadi mercu tanda
Berbahas mewakili nusa
Desa Murni Kerdau tercinta
Kerana leluhur terlibat sama
Mengharap kemenangan
Aspirasi Desa Madani Negara
Kami telah mencuba
Sehabis daya dan upaya
Dengan kepercayaan dan bantuan
yang tersedia
Kami percaya terbalas sudah sebuah jasa
14 Jun 2025
KKDW Putrajaya
Menulis adalah Marathon
Bukan penting
Siapa yang lari dahulu
Atau siapa yang lari kemudian
Di mana kita bermula tidak penting
yang penting
Siapa yang mampu bertahan
Larian ini panjang selagi
hayat dikandung badan
Menulis jangan tamak
Fokus dan terus berkarya
Dunia menulis adalah marathon
Kuantan Pahang
22 Jun 2025
NASRUL ISYAM BIN ABDUL HAMID (NASRUL BK) dilahirkan di Kampung Kuala Sanggang Temerloh Pahang. Merupakan anak jati daerah Temerloh, tanah buaian revolusi. Bertugas sebagai Pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang dan merupakan Penolong Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Sesi 23/25. Penggerak Sayap Muda DPMP. Seorang aktivis masyarakat dan pendidikan. Penceramah motivasi, fasilitator dan sekarang giat menulis puisi, cerpen, anekdot dan laporan berita program di media cetak, media elektronik dan media sosial. Karya kecil beliau pernah tersiar di Mingguan Malaysia, Riau Sastra, Apajake magazine,Utusan Borneo, Suara Sarawak, Jendeladbp dan Media Permata (Brunei).
Email: nasrulisyam@gmail.com