Mendapat undangan majlis berandam
Senarai nikah berjuntai paham
Melayu besar adat bersemayam
Kekal berkurun zaman berdentam
Riang hati berlonjak senang
Helat digelar buat perintang
Waktu tidak habis terbuang
Apalagi usik khayal terkenang
Belasan tahun berlalu sudah
Tetapi ingatan menuntun gairah
Terselamat diri syahwat merandah
Hilang bangsa terjejas marwah
Semua insan hidup berpasangan
Sesuai kehendak garis suratan
Begitulah Allah beri tuntutan
Supaya zuriat jelas keturunan
Perintah menikah ragam manfaat
Kemaruk nafsu kadang menyesat
Sepintas memang terasa nikmat
Larut memuja mendatang laknat
Sebelum rangkai majlis digelar
Pengantin berhias wajah bersinar
Cantik terlihat mengguncang debar
Berandam dibuat ramuan pengantar
Adat berandam disebut orang
Tolak bala sebelum dijelang
Banyak perkara hendak dibuang
Tujuan utama sedap dipandang
Berandam molek duduk selonjor
Dapat membasuh segala kotor
Wajah seiras permaisuri tersohor
Terang benderang laksana obor
Berandam membuang perangai buruk
Kadang wajah membelakang bentuk
Parah bertingkah semakin teruk
Sikap bicara hamun mengutuk
Berandam pengantin membuang sial
Petuah tetua sebagai bidal
Suatu keadaan tiada kekal
Hanya amal menjadi bekal
Berandam pengantin terserlah mata
Wajah berseri pengantin jelita
Sedap menoleh gagap terbata
Terpaku pesona mengusir sengketa
Dengan berandam berseri pengantin
Sejuk menusuk menjangkau batin
Jalinan mesra mulai berpilin
Berharap hubungan erat semakin
Berandam pengantin calon permaisuri
Riang hati gemerlap berseri
Seri merebak sepanjang hari
Menguntai senyum menyirat misteri
Seisi rumah riuh semarak
Tepung tawar renjis serentak
Ketawa menggoda pojol terbahak
Calon mempelai tersipu gerak
Majlis berandam berkumpul keluarga
Adat Melayu membuat bangga
Tiada ucapan bahagia terhingga
Mengantar pengantin berumah tangga
Semua berdo’a khusuk munajat
Tercapai makbul segala hajat
Majlis berandam berseri memikat
Syukur menguntai ucap kerabat
Selepas Ashar Maghrib menjelang
Wangi rumah bukan kepalang
Siap menyambut tetamu datang
Helat nikah tabuhan gendang
Berandam pengantin adat tersusun
Warisan Melayu turun temurun
Pertanda istiadat berpintal rukun
Rapi tertata tidak berbalun
Sungguh hebat nenek moyang
Sulit ditanding ilham mengarang
Sandaran makna luas terbentang
Bukan sekadar pemanis lambang
Berandam pengantin mulia tujuan
Dapat dipakai sebagai pedoman
Marwah tegak adat junjungan
Seumur hidup abadi berkekalan
Kelapapati, 17 Safar 1443 H